Sejak kecil Imam Al-Syafie telah mengembara dari Palestin ke Mekah. Tujuan perjalanan ini adalah untuk merapatkan Imam Al-Syafie dengan keturunannya. Selepas selesai menghafaz Al-Qur'an, maka Imam Al-Syafie bercadang pula untuk mendalami ilmu bahasa dan kesusasteraan Arab bersama suku Hudzail.
Setelah mendalami ilmi bahasa dan kesusasteraan, Imam Al-Syafie terdengar khabar yang menceritakan tentang keunggulan Imam Malik. Lalu, Imam Al-Syafie pergi bertemu dengan Imam Malik di Madinah untuk belajar kepadanya ilmu hadis dan fiqh.
Imam Al-Syafie menyedari bahawa dia juga perlu mula bekerja demi masa depannya dan bagi membiayai hidup keluarga. Demikian mendorongnya menerima tawaran bekerja sebagai pegawai di Yaman. Tetapi, sebahagian orang yang tidak senang dengan Imam Al-Syafie lantas memfitnahnya dan menuduhnya sebagai Syiah. Imam Al-Syafie kemudian dibawa ke Iraq untuk dihukum di depan Khalifah Harun Al-Rasyid. Mujurlah dengan kurniaan Allah, kepetahan lidah Imam Al-Syafie dapat menyelamatkan nyawanya dari dihukum bunuh. Setelah itu Imam Al-Syafie telah pulang semula ke Mekah dan mengajar di sana.
Sepuluh tahun Imam Al-Syafie telah meninggalkan Iraq, lalu beliau berhasrat untuk hadir semula ke Iraq bagi memperkenalkan fiqh barunya. Di sana, di Masjid Jami' Fusthath, Imam Al-Syafie telah didatangi ramai orang yang hendak mempelajari fiqhnya. Beliau juga sempat menerbitkan kitabnya yang berjudul 'Al-Hujjah'. Setelah berada 2 tahun di Iraq, lalu Imam Al-Syafie kembali semula ke Mekah.
Namun, tidak lama kemudian Imam Al-Syafie berkunjung sekali lagi ke Iraq buat kali ketiganya pada tahun 198 H. Kunjungan ini hanya sebentar sekadar beberapa bulan sahaja. Ini kerana beliau berhasrat untuk berkunjung ke Mesir. Beliau mula berkunjung ke Mesir pada tahun 198 H dan sampai ke Mesir pada tahun 199 H. Inilah pendapat yang dekat dengan kebenaran.
Tujuan Imam Al-Syafie berkunjung ke Mesir adalah untuk meneruskan perjalanan mencari ilmu pengetahuan serta menyebarkan fiqhnya. Ketika berada di sana, beliau telah mengubah banyak pendapat lamanya kepada pendapat yang baru setelah mengetahui dalil-dalil yang baru dan menemui kekuatan serta kelemahan dalil-dalil. Akhirnya, beliau berjaya menyusun penulisan baru yang dinamakannya "Al-Umm".
________________________________
Bibliografi:
1. Al-Syafie karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
2. Al-Imam Al-Syafie fi Madzhabihil Qadim wal Jadid karya Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam.
No comments:
Post a Comment