Monday, 13 June 2011

Imam Al-Syafie Pakar Debat

Imam Al-Syafie sangat pandai berdebat. Kehebatannnya berdebat dan mengalahkan pihak lawan telah masyhur diketahui ramai. Sebagaimana yang diceritakan oleh Yunus bin Abdul A'la bahawa sekiranya Imam Al-Syafie sudah terlibat dalam perdebatan, maka dia akan terus mendebat lawannya sampai dapat membungkamnya.

______________________***_____________________
Pernah Imam Al-Syafie bercerita, "Saya terlibat dalam perdebatan yang sengit bersama Muhammad bin Al-Hasan. Lalu, sedikit demi sedikit saya mulai meruntuhkan argumen-argumennya."

Imam Muhammad bin Al-Hasan: Seseorang tidak boleh berdoa di dalam solatnya kecuali doa yang redaksinya berasal dari Al-Qur'an atau redaksinya sama dengan redaksi Al-Qur'an.

Imam Al-Syafie: Bolehkah seseorang berdoa seperti ini, "Ya Allah, kurniakanlah aku makanan mentimun, bawang merah dan bawang putih" atau "Kurniakanlah aku rezeki berupa makanan-makanan tersebut", atau Keluarkanlah ia dari bumiku?"

Imam Al-Hasan: Tidak.

Imam Al-Syafie: Bukankah doa seperti itu memang terdapat di dalam Al-Qur'an? Jika orang yang bersolat hanya boleh berdoa dengan doa yang terdapat di dalam Al-Qur'an maka redaksi doa tadi ada di dalam Al-Qur'an. Tetapi sekiranya kamu melarang doa yang bukan dari Al-Qur'an, kenapa kamu melarang doa tertentu dan membolehkan doa tertentu?

Imam Al-Hasan: Bagaimana pula pendapatmu?

Imam Al-Syafie: Setiap redaksi doa yang diperbolehkan untuk dibaca selain dalam solat maka doa tersebut boleh dibaca ketika solat, bahkan disunatkan kerana solat merupakan media yang dapat mempercepat dikabulkannya doa seseorang. Di samping itu, solat juga bererti bacaan dan doa. Dalam solat, seseorang tidak boleh berkata-kata seperti perkataan yang biasa diucapkan selain pada waktu solat.

______________________***_____________________
Imam Al-Syafie juga pernah berdebat dengan Imam Ahmad bin Hanbal tentang masalah orang yang meninggalkan solat.

Imam Al-Syafie: Hai Ahmad, apakah kamu menganggap orang yang meninggalkan solat itu kafir?

Imam Ahmad: Ya.

Imam Al-Syafie: Jika jadi kafir maka bila pula ia menjadi Muslim?

Imam Ahmad: Apabila orang itu mengucap dua kalimah syahadah. 

Imam Al-Syafie: Bukankah orang itu masih meyakini kalimah syahadah dan tidak mengingkarinya?

Imam Ahmad: Ia boleh dianggap Muslim jika solat.

Imam Syafie: Solatnya orang kafir tidak sah dan seseorang tidak boleh disebut Muslim hanya dengan solat sahaja.

Maka, Imam Ahmad pun terdiam dan perdebatan berakhir.

______________________***_____________________
Tujuan Imam Al-Syafie berdebat bukanlah untuk menyalahkan lawannya tetapi tujuan sebenar beliau adalah untuk mencapai kebenaran melalui perdebatan, tanpa mengira sama ada kebenaran itu akan memihak kepadanya atau kepada lawannya.
_______________________________
Bibliografi:
(1) Al-Imam Al-Syafie fi Madzhabihil Qadim wal Jadid karya Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam.
(2) Al-Syafie karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.

1 comment:

  1. BERDEBAT untuk mencapai kebenaran melalui perdebatanNYA.

    ReplyDelete