Monday, 13 June 2011

Imam Al-Syafie Hafaz Hadis

Keinginan Imam Al-Syafie terhadap ilmu-ilmu Islam semakin membara. Setelah menghafal Al-Qur'an dan mendalami bahasa Arab, beliau cenderung pula untuk mendalami ilmu Hadis. Memang beginilah 'Adab Mencapai Mujtahid' yang sebenar.

Di dalam kitab Al-Muhaddits Al-Fashil ada kisah yang hampir sama dengan kisah Imam Al-Syafie. Hafs bin Ghiyats berkata: Saya datang kepada al-A’masy dan berkata kepadanya: Riwayatkanlah hadis kepadaku! Al-A’masy bertanya: Apakah engkau sudah menghafal Al-Qur’an? Saya menjawab: Belum. Lalu dia berkata kepadaku: Pergilah hafalkan al-Qur’an! Kemudian (jika sudah), barulah aku bersedia meriwayatkan hadis kepadamu. Hafs berkata: Kemudian saya pergi untuk menghafal al-Qur’an. Lalu, saya datang semula kepadanya. Dia meminta saya untuk membaca al-Qur’an dan saya pun membaca (di hadapannya). Setelah itu, barulah dia meriwayatkan hadis kepadaku.   

Imam Al-Syafie telah mendapat khabar tentang seorang ulama besar Madinah yang hebat dalam bidang hadis, iaitu Imam Malik. Majlis pengajian Imam Malik dikenali sebagai Madrasah Ahli Hadis. Lantas, Imam Al-Syafie segera meminjam kitab Al-Muwattha' susunan Imam Malik dari seorang kenalan di kota Mekah. Kitab itu dibaca dan dihafalkan olehnya. Usianya ketika telah menghafal kitab Al-Muwattha' ialah 13 tahun. Kemudian, Imam Al-Syafie berangkat pergi berjumpa dengan Imam Malik di Madinah serta berguru dengannya sampai kewafatan Imam Malik. 

Imam Al-Syafie berhasil menimba ilmu hadis dan ilmu fiqh daripada Imam Malik. Dan mazhab Imam Malik inilah yang juga merupakan mazhab Imam Al-Syafie sebelum beliau berlepas diri dari mazhab Imam Malik. Demikian ini telah diterangkan oleh Prof. Muhammad Abu Zahrah di dalam kitabnya, Imam Al-Syafie.

Imam Al-Syafie turut dikenali sebagai "Pembela Hadis atau Nashir al-Hadis" di kota Mekah. Seorang anak murid Imam Al-Syafie yang bernama Ahmad bin Hanbal pernah ditanya tentang status Imam Al-Syafie sama ada beliau seorang ahli hadis ataupun bukan? Lalu, Amirul Mukminin fil Hadis, Imam Ahmad bin Hanbal berkata, "Ya, demi Allah, beliau adalah 'Ahli Hadis'." 

Pernah imam bagi sekalian para imam yakni Muhammad bin Ishaq bin Khuzaimah (Imam Ibnu Khuzaimah) ditanya tentang perihal Imam Al-Syafie, "Apakah anda mengetahui tentang adanya hadis sahih yang belum sempat ditulis oleh Al-Syafie? Maka jawabnya, "Tidak". 
________________________________
Bibliografi:
1. Al-Syafie karya Prof. Muhammad Abu Zahrah.
2. Al-Imam Al-Syafie fi Madzhabihil Qadim wal Jadid karya Dr. Ahmad Nahrawi Abdus Salam. 

1 comment: