Tuesday 26 June 2012

Sukar Memahami Hujah Mazhab Syafie

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Segala pujian bagi Allah SWT dengan limpah kurnia, rahmat, dan kasih sayang-Nya kita masih lagi dihidupkan pada hari ini, diberi rezeki melimpah ruah dan diberikan kelapangan masa dalam menuntut ilmu pengetahuan. Sesungguhnya bagi penuntut ilmu itu pahala yang besar dan meraih keredaan Allah SWT, para rasul, para malaikat dan sekalian makhluk sama ada di langit mahupun yang ada di bumi, sama ada di daratan mahupun yang ada di dalam lautan. 

Pada kali ini saya ingin berkongsikan sebuah tulisan tentang  "Sukar Memahami Hujah Mazhab Syafie". Idea penulisan ini tercetus dalam fikiran saya sudah lama. Dan guru saya, al-Fadhil Ustaz Umar Muhammad Noor juga sempat berpendapat demikian. 

Bagi saya, betapa sukarnya untuk kita memahami hujah mazhab Syafie. Ini kerana Imam al-Syafie dan para tokoh mazhab ini tidak sekadar mempertimbangkan dari satu sudut, tetapi dari setiap sudut. Sebagai contoh, menurut qaul mukhtar (terpilih) mazhab Syafie batal wuduk sentuh wanita bukan mahram tanpa lapik. 

Peringkat Pertama: 

Dalam peringkat pertama mazhab Syafie berhujah bahawa sentuh wanita dapat membatalkan wuduk kerana berdasarkan firman Allah SWT surah al-Ma'idah ayat 6.



يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ وَإِنْ كُنْتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا وَإِنْ كُنْتُمْ مَرْضَى أَوْ عَلَى سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِنْكُمْ مِنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ

 

Jadi kita dapat lihat dalil yang digunakan oleh mazhab ini dalam kes ini adalah daripada al-Quran.


Peringkat Kedua:


Dalam peringkat kedua, terdapat beberapa halangan dalam menetapkan adakah benar ayat tersebut menunjukkan batalnya wuduk sentuh wanita bukan mahram. Ini kerana seorang sahabat nabi yang didoakan oleh Nabi SAW  supaya diberikan kefahaman yang mendalam dalam agama dan pandai mentakwil yakni Abdullah bin Abbas (Ibnu Abbas), berpendapat bahawa lafaz "laamastum" pada ayat tersebut bererti "jimak"  bukan bererti "sentuh". 

Dalam menanggapi hal itu, mazhab Syafie tetap berpendapat lafaz dalam ayat tersebut adalah bererti "sentuh" atas alasan-alasan berikut:


(1) Terdapat qiraat mutawatir lain yang membaca dengan "lamastum" yakni memang bererti "sentuh". 

(2) Terdapat dua qaul sahabat yang juga terkenal faqih dalam agama selain Ibnu Abbas yakni Abdullah bin Mas'ud dan Abdullah bin Umar yang menafsirkan "laamastum" sebagai "sentuh". 

(3) Lafaz "Laamastum" itu mungkin diertikan sebagai zahir atau ditakwil secara maknawi. Erti secara zahir ialah "sentuh" manakala erti secara maknawi ialah "jimak". Jadi, ulama mazhab Syafie berhujah mafhumnya, "Jika suatu lafaz itu boleh diambil sebagaimana zahirnya, mengapa pula mahu ditakwilkan secara maknawi???" 

(4) Pada kebiasaannya jika suatu ayat sukar untuk diketahui maknanya, maka ulama tafsir akan merujuk kepada syair-syair Arab sebagai pendokong suatu maksud suatu ayat. Penafsiran dengan erti "sentuh" sangat selari dengan syair Arab. Syair itu telah disebutkan oleh Imam al-Syafie dalam kitabnya al-Umm. 

Peringkat Ketiga: 

Dalam peringkat ketiga ini, mazhab Syafie menetapkan bahawa tidak semua wanita jika seorang lelaki menyentuhnya maka batal wuduk. Terdapat pengecualian. Pertama, dikecualikan kanak-kanak perempuan. Ini kerana ayat tersebut menggunakan lafaz "nisaa'" yang bererti wanita dewasa, maka tidak batal wuduk sekiranya menyentuh kanak-kanak perempuan.

*Tambahan: Sekiranya ada hadis yang menunjukkan Nabi SAW selepas menyentuh Aisyah RA nabi tidak berwuduk lagi, saya berpendapat mungkin hadis tersebut disesuaikan kepada Aisyah yang masih belum dapat disebut "nisaa'". Tetapi, ulama kata dalam hadis itu Nabi SAW menyentuh Aisyah dengan berlapik. Wallahu a'lam bis shawab.



Peringkat Keempat:


Dalam peringkat keempat, peringkat yang terakhir ialah tidak batal wuduk jika menyentuh wanita bukan mahram. Ini adalah sebagaimana qaul qodim Imam al-Syafie yang masih lagi dipegang dan diamalkan hingga kini. Pertanyaannya mengapa wanita bukan mahram dikecualikan? Jawapan bagi persoalan tersebut ialah:

(1) Kata "nisaa'" dalam ayat itu sudah tentu tidak boleh berlaku pada semua wanita dalam erti kata lain mesti terdapat perbezaan wanita mahram dan bukan mahram. Ini kerana terdapat ayat-ayat lain yang membezakan wanita mahram dan wanita bukan mahram, maka digunapakai ilmu usul fiqh yakni muqayyad atau taqyid. 

*Bagi mereka yang belum memahami mutlaq-muqayyad mohon rujuk kepada asatizah yang berhampiran dengan anda.


Apa akan jadi kalau semua ayat yang menggunakan lafaz "nisaa'" merujuk kepada semua wanita tanpa dibezakan wanita mahram dan wanita bukan mahram? Dikhuatiri ayat yang menganjurkan nikah yang menggunakan lafaz "nisaa'" juga merujuk kepada semua wanita tanpa dibezakan wanita mahram dan bukan mahram. Ini adalah salah. Ayat nikah tersebut ialah surah al-Nisa' ayat 3: 

فَانْكِحُوا مَا طَابَ لَكُمْ مِنَ النِّسَاءِ مَثْنَى وَثُلَاثَ وَرُبَاعَ فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا تَعْدِلُوا فَوَاحِدَةً



Oleh itu, mesti dibezakan hukum terhadap wanita mahram dan wanita bukan mahram. 

(2) Lelaki yang normal pasti tidak akan merasa syahwat jika menyentuh wanita mahram (terutama yang ada hubungan nasab dengannya). Jadi, sudah tentu mesti dibezakan hukum antara wanita mahram dan bukan mahram. 


Kesimpulannya, dalam mazhab Syafie, menyentuh wanita bukan mahram boleh membatalkan wuduk. Manakala menyentuh kanak-kanak wanita yang belum baligh dan menyentuh wanita mahram tidak membatalkan wuduk. 


Wabillahi tawfiq wal hidayah. 
Wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 

*Jika terdapat kesilapan dalam penulisan ini, penulis mohon diperbetulkan dan ditegur secara hikmah. Semoga Allah merahmati kita semua. 

5 comments:

  1. Mohon copy-paste untuk dibukukan. Bukan untuk dijual, tapi diedarkan. Mohon halalkan.

    ReplyDelete
  2. Salam..Mohon dicopy paste segala artikelnya untuk di bacaan peribadi dan simpanan peribadi...Terima kasih

    ReplyDelete
  3. As salam mohon copy segala artikel untuk pembacaan peribadi.umtuk menambahkan pengetahuan.mohon dihalalkan

    ReplyDelete
  4. Salam..quote: peringkat ke empat" tidak batal wuduk sentuh wanita bukan mahram ...(wanita mahram kot....)

    ReplyDelete
  5. According to Stanford Medical, It is really the SINGLE reason this country's women get to live 10 years longer and weigh an average of 19 KG lighter than us.

    (And realistically, it has totally NOTHING to do with genetics or some secret exercise and EVERYTHING related to "HOW" they are eating.)

    BTW, What I said is "HOW", not "what"...

    Tap this link to discover if this short questionnaire can help you decipher your real weight loss possibilities

    ReplyDelete